“Semoga Allah memberikan kesembuhan padamu secepatnya dengan kesembuhan yang tiada sakit setelahnya.”

“Semoga Allah memberikan kesembuhan padamu secepatnya dengan kesembuhan yang tiada sakit setelahnya.”

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Walaupun terlalu pahit diterima namun saya tetap reda dengan ujian Allah ini, penyakit saraf kronik yang menyerang mengubah segala-galanya.

  “Saya tidak mampu berdiri dan berjalan, pergerakan semua anggota sukar dikawal disebabkan kejang. Pertuturan juga tidak lancar dan kurang jelas,” kata gadis malang, Ainatun Nadrah Napiah, 32.

Pengurus Kompleks Asnaf MUIP, Nor Rosyidah Mohamed Tahir dan Ainatun Nadrah Napiah berdoa memohon semoga diberi kesembuhan.

  Menurut anak ketiga daripada  empat beradik itu, dia tidak pernah menduga penyakit saraf kronik yang menyerang arwah mak serta nenek sebelum ini kini berlaku pada dirinya.

  Katanya, penyakit berkenaan mula menyerangnya tujuh tahun lalu, bermula daripada jari tangan kiri yang kejang kini hampir seluruh anggota sukar digerakkan dengan sempurna, pertuturan juga tidak lancar dan tersekat.

  “Tidak ada sebarang tanda penyakit berkenaan akan menyerang saya terutama ketika belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor, seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan.

Adik bongsu Ainatun Nadrah Napiah, Ahmad Ikmal turut menghidap penyakit saraf kronik.

  “Saya menjaga arwah mak ketika dia sakit hingga akhir hayatnya, selepas itu penyakit saraf kronik mula menyerang saya secara berperingkat hingga kini.

  “Lima tahun lalu penyakit misteri itu turut menyerang adik bongsu saya, Ahmad Ikmal, 30, dan keadaanya lebih serius,” katanya yang sebelum ini menetap di Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, di sini.

  Dia yang kini menetap di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP), di sini berkata, seorang lagi abangnya kini turut menghidap penyakit yang sama namun keadaannya tidak terlalu serius, hanya seorang abangnya sahaja yang normal dan menetap di Johor.

  Ainatun Nadrah yang kini ketiadaan ibu dan bapa berkata, dia dan adik kini menumpang berteduh di kompleks asnaf MUIP bersama warga emas dan keadaan di pusat itu selesa dan memuaskan.

  “Saya reda dengan ujian berat yang diterima ini, sebagai hamba saya hanya mampu berdoa setiap hari pada Yang Maha Esa semoga saya, abang dan adik diberi kesembuhan dan kembali normal. Sungguh berat ujian yang kami terima ini.

  “Ramadan kali ini saya perbanyakkan amal ibadah sambil berdoa dan merayu pada Allah untuk memberi suatu keajaiban, saya ingin kembali sihat seperti satu ketika dahulu,” katanya yang empat tahun tinggal di kompleks asnaf MUIP.

  Sementara itu, Pengurus Kompleks Asnaf MUIP, Nor Rosyidah Mohamed Tahir berkata, pihaknya memberi sepenuh perhatian terhadap kebajikan Ainatun Nadrah dan adiknya yang mengalami masalah kesihatan.

  “Setiap bulan mereka berdua dibawa berjumpa doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan serta mengambil ubat,” katanya yang terharu dengan penderitaan dialami dua beradik berkenaan.