Semoga aokmer terus cekal yek

Semoga aokmer terus cekal yek

KUANTAN: Pengalaman kali kedua menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan ternyata dapat menambahkan lagi keimanan buat sebilangan remaja Orang Asli dari beberapa daerah di negeri ini.   

Berbekalkan ilmu agama dipelajari di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) di bawah Yayasan Pahang, ia menjadi landasan kepada kumpulan remaja Orang Asli terbabit untuk terus taat kepada perintah agama.

Ainul Mardiah Awang, 20, berkata dia mengambil keputusan memeluk Islam tahun lalu selepas tertarik melihat corak kehidupan kakaknya yang sudah tujuh tahun melafaskan syahadah.

Menurutnya, tahun ini kali kedua dia menjalani ibadah puasa yang dianggap tidak terlalu membebankan terutama selepas berpengalaman melaluinya tahun lalu.

“Saya seronok dapat berpuasa bersama rakan-rakan di PETAMA. Kami berbuka dan bersahur serta menunaikan solat terawih berjemaah yang secara tak langsung membuatkan saya berasa bangga, namun pada masa sama ia tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

“Saya tidak menganggap puasa terlalu membebankan, sebagai umat Islam kita perlu patuh dan taat pada perintah Yang Maha Esa,” katanya yang menetap di Kampung Batu 8, Rompin.

Rakannya, Sharizal Zainal, 19, berkata tahun lalu dia terpaksa berbuka pada hari ketujuh Ramadan selepas mengalami sakit perut teruk.

“Tahun ini saya berdoa semoga dapat menjalani ibadah puasa penuh sebulan bersama dengan rakan-rakan lain dan agak selesa berpuasa kerana sudah ada pengalaman.

“Waktu berbuka puasa detik paling seronok sekali. Selain kuih, kami dapat jamu selera dengan nasi dengan pelbagai jenis lauk,” katanya yang berasal dari Pos Lemoi, Cameron Highlands.

PETAMA kini menempatkan seramai 56 pelajar lelaki dan perempuan untuk mendalami Islam. – MOHD IMRAN IZZAD