Semoga Fadzely di temui hari ini

Semoga Fadzely di temui hari ini

KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang hilang ketika keluar memancing di perairan Karang Tanjung Pelindung di sini Sabtu lalu, diteruskan hari ini oleh pasukan penyelamat membabitkan kekuatan 50 orang ternasuk nelayan tempatan.

Penolong Pengarah Perkhidmatan Mencari dan Menyelamat (Carilamat) Maritim Malaysia Pahang, Leftenan Komander Mahathir Ismail, berkata operasi hari ketiga itu bermula jam 7 pagi sehingga 7 petang ini membabitkan aset laut dan udara.

“Operasi hari ini iaitu hari ketiga pencarianm membabitkan aset laut iaitu bot Maritim Malaysia dan enam bot nelayan tempatan serta helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kawasan pencarian pula bermula di Beserah sehingga ke Pantai Sepat membabitkan 112 batu nautika,” katanya kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di Pantai Beserah di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau berharap mangsa dapat ditemui hari ini selepas hilang hampir 40 jam di laut.

“Jika tidak (ditemui) kemungkinan untuk hidup sangat tipis,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid turut melawat keluarga mangsa yang berkumpul di pantai berkenaan, hari ini.

“Saya minta keluarga ibu mangsa (Armah Abdul Karim, 66) supaya besabar dengan dugaan ini dan reda sekiranya ditakdirkan anaknya ditemui tidak lagi bernyawa.

“UMNO Bahagian Indera Mahkota akan memberi bantuan setakat yang boleh kepada keluarga mangsa,” katanya.   

Dalam kejadian jam 6.20 petang Sabtu lalu, mangsa, Fadzely Mohamed, 40, hilang di laut ketika memancing manakala rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, dapat diselamatkan.

Mangsa bersama pengadu dikatakan keluar memancing kira-kira jam 7 pagi dengan menaiki sebuah bot gentian kaca namun ketika dalam perjalanan pulang pada jam 6.20 petang hari sama, bot dinaiki mereka kehabisan minyak.

Selesai mengisi minyak dan mula untuk bergerak kembali, kipas enjin bot dikatakan terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda pukat di kawasan perairan itu.

Ekoran kejadian itu, bot dinaiki mereka terbalik menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam laut dan tenggelam di bawah bot. – HELMY ABD RAHMAN