PEKAN: Kariah Masjid Kampung Batu 8, Lepar di sini boleh menggunakan Surau Taman Agro Kampung Batu 8 untuk menunaikan solat fardu susulan kebakaran masjid berkenaan, awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata beliau akan mengemukakan kepada YAB Menteri Besar, Dato’Sri Wan Rosdy Wan Ismail bagi mendapatkan persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri mengeluarkan peruntukan untuk menambah baik surau berkenaan.
“Antaranya untuk menyediakan pembesar suara lebih sesuai, menyediakan mimbar untuk khatib, membaik pulih tandas dan membersih lokasi masjid yang musnah,” katanya.
Dalam kejadian jam 2 pagi tadi, Masjid Kampung Batu 8, Lepar, musnah sepenuhnya dalam kebakaran.
Difahamkan, kejadian berlaku akibat litar pintas.
Syed Ibrahim berkata, hasil pertemuannya dengan pengurusan masjid, mereka mengharapkan agar sebuah masjid baharu dibina bagi menggantikan masjid yang terbakar.
“Ini kerana kariah masjid terbabit agak ramai iaitu 700 orang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN