LIPIS: Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM12 juta bagi pembinaan projek Kolam Takungan Hiliran bagi mengatasi masalah air keruh yang sering terjadi di Loji Kuala Medang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, apabila siap kelak, ia akan memberi faedah kepada tiga ribu penduduk di enam kampung berhampiran.
Katanya, projek di kawasan dua hektar itu dimulakan pada Disember 2021 dan akan siap sepenuhnya pada November 2022.
“Projek Kolam Takungan Hiliran atau Off River Storage adalah untuk membolehkan air mentah dari sungai berhampiran disalurkan ke satu kawasan takungan sebelum dibekalkan ke loji rawatan air Kuala Medang untuk diproses..
“Air mentah dari sungai yang ditakung di dalam kolam akan melalui proses pra mendapan secara semulajadi,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah bagi pembinaan Kolam Takungan Hiliran di Kuala Medang, hari ini.
Beliau berkata, apabila siap kelak ia dapat mengatasi isu kekeruhan air melampau yang menyebabkan loji berkenaan tidak mampu merawat air sehingga terpaksa kerap ditutup.
“Saya berharap melalui kaedah ini, isu masalah loji rawatan air Kuala Medang yang terpaksa dihenti tugas dapat diatasi,” katanya.
Katanya, projek Kolam Takungan Hiliran diharap juga dapat menampung keperluan bekalan air yang semakin meningkat selari pertambahan penduduk, kawasan industri dan perumahan baru.
Wan Rosdy berkata, selain memenuhi keperluan penduduk, kolam takungan loji rawatan Kuala Medang boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi dan sukan air.
Katanya, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM92.5 juta bagi menyiapkan projek infrastruktur bekalan air baharu dan menaik taraf sistem yang sedia ada di seluruh negeri, sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM151.28 juta iaitu peningkatan RM58.78 juta, bagi tujuan yang sama tahun ini. – MUHAMMAD NAJMIE