KUANTAN. Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) membayar zakat pendapatan RM4 juta kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Zakat pendapatan itu diserahkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang, Dato’ Halidan Md Daud.
Majlis itu disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang yang juga Pengerusi PSK, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak di Genting Highlands, semalam.
“Alhamdulillah, saya mewakili PSK menyerahkan zakat pendapatan kepada MUIP melalui PKZ Pahang berjumlah RM4 juta sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang di Awana Genting Resort, Genting Highlands.
“Untuk makluman, PSK adalah badan milik penuh Kerajaan Pahang dan sesungguhnya saya cukup berbangga dengan pencapaian yang dicapai oleh PSK terutama dalam meneroka peluang pelaburan untuk negeri Pahang.
“Semoga serahan zakat ini dapat dimanfaat untuk diagihkan kepada para asnaf bagi membantu meringan beban yang dihadapi oleh golongan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN