Semoga syiar Islam terus berkembang di Pahang

Semoga syiar Islam terus berkembang di Pahang

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan peruntukan sebanyak RM147 juta kepada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah Pahang dan Jabatan Mufti Pahang bagi 2022.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata  peruntukan itu merangkumi pelbagai perolehan aset dan perbelanjaan modal insan kepada sekolah-sekolah dan masjid di seluruh negeri ini.

“Menyedari keperluan memperkasakan institusi Islam dari aspek merealisasikan ilmu dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), kerajaan negeri menyediakan peruntukan ini untuk semua agensi terbabit.

“Peruntukan ini merangkumi pelbagai perolehan aset dan perbelanjaan modal insan kepada sekolah-sekolah dan masjid seluruh Pahang yang membabitkan jumlah RM1.92 juta, pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik, penyelenggaraan dan menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran Jaip termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan asrama sekolah-sekolah di bawah pengurusan Jaip yang keseluruhannya berjumlah RM10 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Pahang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mewujudkan Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya (OKU) Pahang dan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM150 ribu setahun bagi menjalankan aktiviti dan program ke arah kesejahteraan OKU bagi memastikan agar golongan berkenaan terus dibela dan diberi perhatian. 

“Pembelian peralatan pemulihan kepada 52 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Pahang dengan kos RM520,000 bagi meningkatkan potensi pemulihan OKU dan mengelakkan kecacatan menjadi lebih teruk. 

“Menyedari tanggungjawab besar dipikul oleh penyelia dan petugas PPDK, sumbangan one-off RM250 kepada 300 penyelia dan petugas PPDK seluruh Pahang dengan kos sebanyak RM75,000 bagi mengiktiraf komitmen pekerja, pendidik dan pengasuh OKU untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada OKU. – HELMY ABD RAHMAN