Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUALA LUMPUR: Semua menteri kabinet menyerahkan surat peletakan jawatan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menerusi perkongsian Instagram Story, sebentar tadi.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi dalam Kerajaan Perikatan Nasional juga mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang berkhidmat kepada negara.
“Terima kasih kerana diberikan peluang sekali lagi untuk berbakti kepada negara.
“Semoga Tuhan merahmati Malaysia,” katanya dalam perkongsian itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan meninggalkan perkarangan Istana Negara selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Memetik laporan Berita Harian Online, sesi menghadap Seri Paduka berlangsung kira-kira 40 minit.
Beliau yang tiba jam 12.23 tengah hari, dijadual mengadakan sidang media petang ini untuk memaklumkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pagi tadi, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dato’ Sri Mohd Redzuan Md Yusof memaklumkan Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.