Semua 266 Rumah Rakyat Pahang perlu disiapkan tahun ini

Semua 266 Rumah Rakyat Pahang perlu disiapkan tahun ini

MARAN: Tiada peruntukkan baru akan diberikan bagi pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk 2023 jika kuota 2022 gagal disiapkan. 

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan itu bagi memastikan tidak timbul masalah pembinaan RRP sama ada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen. 

“Setiap DUN menerima peruntukkan untuk membina enam RRP manakala sebuah untuk setiap Parlimen pada tahun ini. Ia menjadikan jumlah keseluruhan 266 RRP yang akan dibina tahun ini.

“Semua kuota yang diberikan kepada DUN dan Parlimen pada tahun ini perlu disiapkan tahun ini. Jika tidak, tiada kuota baru diberikan untuk tahun depan sehingga kuota yang ada disiapkan. 

“Setiap projek RRP akan dipantau oleh Pegawai Daerah masing-masing dan saya sendiri akan memantau melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik, Notis 5A, Surat Tawaran Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 2B Daerah Maran di Kuala Sentul,  di sini. 

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul. 

Jelasnya, semua pembinaan RRP di seluruh negeri kini dalam pembinaan dan kerajaan negeri yakin mampu disiapkan sepenuhnya pada tahun ini. 

“Kuota pembinaan RRP terus ditambah daripada dua kepada enam unit untuk setiap DUN sejak dilancar pada tahun 2020 dan mungkin ditambah lagi pada tahun depan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa negeri. 

“Saya memberi jaminan jika kerajaan negeri berjaya mencapai sasaran RM1 billion kutipan hasil pada tahun ini, kita akan tambah pembinaan RRP untuk setiap DUN tahun depan,” katanya. – FATH AHNAF