Semua ADUN PAS Pahang potong 10 peratus gaji untuk Tabung COVID-19

Semua ADUN PAS Pahang potong 10 peratus gaji untuk Tabung COVID-19

Laporan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu mengumumkan beliau dan semua ADUN PAS di negeri ini akan menyalurkan 10 peratus daripada gaji mereka kepada Akaun Amanah Bencana Pahang bagi tempoh tiga bulan, bermula bulan ini sehingga Januari 2021.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata langkah berkenaan seiring dengan keputusan EXCO kerajaan negeri yang mengambil langkah serupa sebelum ini.
“Diharapkan dengan bantuan kecil ini, dapat membantu mereka yang terkesan, bukan sahaja disebabkan pandemik COVID-19, malah bencana lain juga yang berlaku di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2021 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tujuh lagi ADUN PAS di Pahang ialah ADUN Tanjung Lumpur Rosli Abdul Jabar, Shahril Azman Abdul Halim (Jengka), Mohd Tarmizi Yahaya (Panching), Mohd Sofian Abd Jalil (Luit), Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (Tahan), Zuridan Mohd Daud (Damak) dan Mujibur Rahman Ishak (Chenor).
Mengulas lanjut, Andansura turut memuji langkah kerajaan negeri mewujudkan tabung berkenaan untuk digunakan bagi membantu rakyat yang terjejas dan dalam kesusahan.
“Terima kasih juga kepada penjawat awam kerana bersama-sama membuat potongan gaji untuk disalurkan ke dalam akaun ini,” katanya.