Semua banduan di Penjara Bentong lengkap vaksinasi

Semua banduan di Penjara Bentong lengkap vaksinasi

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

Pic Mohd Imran Izzad 

BENTONG: Penjara Bentong antara penjara terawal di negara ini berjaya melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 kepada banduan yang menjalani hukuman di penjara berkenaan.

Pengarah Penjara Pahang, Dato’ Ab Basir Mohamad, berkata seramai 1,200 baki penghuni penjara berkenaan menerima suntikan hari ini.

Katanya, program vaksinasi banduan bermula 1 September lalu membabitkan seramai 1,509  penghuni Penjara Bentong yang menerima suntikan vaksin jenis keluaran Pfizer BioNTech dan Astra Zeneca, manakala baki 1,200 lagi yang disuntik hari ini menerima suntikan dos tunggal CanSino.

“Ini adalah sebahagian usaha mencegah berlakunya penularan Covid-19 dan saya ingin maklumkan kepada keluarga penghuni Penjara Bentong dan Penjara Penor supaya tidak perlu bimbang kerana kita melaksanakan program vaksinasi kepada semua banduan.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semua banduan tidak melakukan sebarang aktiviti di luar bilik tahanan manakala latihan kemahiran serta kelas agama tidak diadakan,” katanya selepas melakukan tinjauan program suntikan vaksin di Penjara Bentong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Bentong, Dato’ Abu Hasan Hussain dan Pegawai Kesihatan Program Vaksinasi Penjara Bentong, Dr Aishah Jamilah Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Ab Basir berkata, Penjara Penor yang sedang dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini mencapai kadar vaksinasi 50 peratus dan dijangka mencapai 100 peratus pemberian vaksin penghujung bulan ini.

Beliau berkata, sejak Disember lalu, seramai 1,130 banduan di Penjara Bentong direkodkan positif Covid-19, manakala seramai 268 banduan di Penjara Penor di Kuantan pula dijangkiti sejak 1 Ogos lalu.

“Setakat ini tiada lagi kes positif di Penjara Bentong manakala 26 orang banduan yang positif dari Penjara Penor dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Penjara Bentong.

“Kita sasarkan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong akan lengkap menerima suntikan COVID-19 pada hujung bulan ini dan bagi mengelakkan berlaku penularan di dalam penjara, setiap banduan baharu perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuklah menjalani ujian calitan dan juga kuarantin selama 28 hari.

“Mana-mana banduan baharu yang dimasukkan ke dalam penjara juga diberikan suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat bagi mengekang penularannya,” katanya.