Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUANTAN: Sebanyak 139 kes positif COVID-19 baharu dicatatkan hari ini apabila semua daerah di Pahang mencatatkan pertambahan kes jangkitan.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memaklumkan, kes tertinggi direkodkan di daerah ini dengan 37 kes, diikuti Temerloh (35 kes), Bentong (14 kes), Cameron Highlands (14 kes), Jerantut (11 kes) dan Bera (enam kes).
![](https://fikrahpahang.com.my/wp-content/uploads/2021/06/2B638F86-1944-448A-AAFC-5EDBE0586FB5.jpeg)
Daerah Lipis dan Maran masing-masing mencatatkan empat kes, manakala Pekan, Raub dan Rompin masing-masing dua kes.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, terdapat tiga kes kematian baharu dilaporkan ke Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 119 kes.
“Kes ke-117 adalah seorang perempuan Melayu berusia 60 tahun dari Felda Tembangau 3, Bera yang mempunyai latar belakang penyakit tekanan darah tinggi dan jantung. Kes mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga.
![](https://fikrahpahang.com.my/wp-content/uploads/2021/06/A74F8ECC-97A0-4D86-8C63-8118348003F1.jpeg)
“Kes ke-118 pula membabitkan lelaki Melayu berusia 55 tahun dari Taman Bukit Bendera Emas, Mentakab, Temerloh yang mempunyai kaitan dengan Kluster Rantau Kenanga, manakala kes ke-119 pula lelaki Melayu (58 tahun) dari Taman Jengka Indah, Maran,” katanya dalam kenyataan media di sini, malam ini.
Beliau berkata, terdapat satu kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Kailan Tringkap.
“Kluster ini mula dilaporkan pada 23 Jun lalu di Cameron Highlands selepas mendapat pemakluman terdapat kes positif dari Ipoh yang mempunyai kontak rapat di Tringkap.
“Nama kluster merujuk kepada jenis kebun dan lokasi di mana disyaki berlakunya penularan pandemik iaitu dalam kalangan pekerja kebun kailan yang terletak di Tringkap, Cameron Highlands. Kes indeks bagi kluster ini ialah seorang rakyat tempatan yang juga pekebun di Ulu Tringkap,” katanya.