Semua individu terbabit dengan Kluster Pasar Kemunting dah jalani saringan

Semua individu terbabit dengan Kluster Pasar Kemunting dah jalani saringan

Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Kamal Ismail

KUANTAN: Semua 261 yang terbabit dengan aktiviti Pasar Kemunting dan Pasar Besar Kuantan sudah melakukan ujian calitan COVID-19, kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak media yang memainkan peranan menyalurkan maklumat sehingga semua individu terbabit melakukan ujian berkenaan seperti diminta sebelum ini.

“Ada antara mereka yang lupa atau tidak perasan mengenai hal ini tetapu sebaik hebahan media, masing-masing mengambil tanggung jawab melakukan ujian saringan.

“Kita minta mereka yang sudah menjalani ujian untuk kuarantin mandiri di rumah, jangan keluar sehingga membahayakan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 47 keluarga di daerah ini sudah dibantu dalam Op Bantu yang kini memasuki fasa kedua.

“Polis bukan sahaja melakukan tugas berkaitan penguat kuasaan, malah menjadi tanggungjawab kita menyantuni dan mendekati masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Kita mempunyai senarai nama penerima bantuan mengikut keutamaan diagihkan dengan bantuan RELA (Pertubuhan Sukarelawan Malaysia) dan Amanita,” katanya.

Op Bantu yang bermula 7 Julai lalu adalah kolaborasi strategik antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.