Semua kelas KAFA di Pahang dapat laksana PdPR

Semua kelas KAFA di Pahang dapat laksana PdPR

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar arkib

KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad secara dasarnya berpuas hati apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dapat dilaksanakan bagi semua Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Katanya, dari segi pengisian tidak menjadi masalah bagi PdPR untuk KAFA yang membabitkan 88,892 pelajar di 589 sekolah dengan jumlah tenaga pengajar seramai 2,628.   

“Petang ini saya berkesempatan mengikuti sendiri (PdPR) secara langsung bersama guru dan pelajar,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat meningkatkan keupayaan internet.

“Ini kerana, masih ada pelajar yang sukar mengikuti PdPR ini selain kesulitan guru mengakses maklumat berkaitan pembelajaran,” katanya.