Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUALA LUMPUR: Semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menggesa seluruh kepemimpinan dan pendokong parti di setiap peringkat UMNO cawangan dan bahagian untuk terus bersatu, bersetia dan mendokong kepemimpinan parti pada setiap masa.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, mereka bersepakat menggesa semua ahli Parlimen dan kepemimpinan parti untuk sentiasa mematuhi dan mempertahankan sebarang keputusan parti, selaras dengan garis panduan diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO.
“Perbincangan Pengerusi-pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri hari ini (16 Ogos 2021) bersepakat untuk meminta semua ahli parti untuk terus istiqamah berpegang teguh kepada prinsip perjuangan, peraturan dan tata susila sebagai ahli UMNO.
“Ahli-ahli Parlimen dan kepemimpinan parti juga digesa untuk mematuhi dan mempertahankan sebarang keputusan parti selaras dengan garis panduan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO pada setiap masa,” petik kenyataan itu.
Barisan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri terbabit terdiri daripada Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (Pahang), Dato’ Ir Hasni Mohammad (Johor), Dato’ Saarani Mohamad (Perak), Dato’ Sri Azlan Man (Perlis), Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan) dan Dato’ Sri Ahmad Said (Terengganu).
Turut serta, Dato’ Sri Bung Moktar Radin (Sabah), Dato’ Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang), Mejar Jen (B) Dato’ Seri Jamil Khir Baharom (Kedah), Dato’ Sri Ab Rauf Yusoh (Melaka), Dato’ Sri Johari Abdul Ghani (Wilayah Persekutuan) dan Tan Sri Noh Omar (Selangor).