KUANTAN: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Jerantut dan Raub ditutup sepenuhnya menjadikan 172 PPS masih beroperasi di tujuh daerah, setakat jam 12 tengah hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah mangsa banjir terkini adalah 25,104 orang daripada 7,542 keluarga.
Katanya, Temerloh mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 11,842 orang daripada 3,393 keluarga yang ditempatkan di 63 PPS, diikuti Bentong yang seramai 4,590 orang daripada 1,576 keluarga di 17 PPS.
“Mangsa di Kuantan menurun kepada 3,236 orang daripada 852 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS, Bera (2,284 mangsa/658 keluarga) di 22 PPS dan Pekan (1,526 mangsa/491 keluarga) di 20 PPS.
“Di Maran pula (1,425 mangsa/414 keluarga) di 27 PPS, manakala Lipis (201 mangsa/70 keluarga) di dua PPS,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhannya, sebanyak 62,753 mangsa daripada 17,374 keluarga di sembilan daerah terjejas dalam kejadian banjir kali ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 15 kes kematian dilapokan setakat ini di seluruh Pahang iaitu lapan di Bentong, masing-masing dua di Kuantan, Temerloh dan Raub serta satu lagi di Pekan. – HELMY ABD RAHMAN