Semua PPS di Pahang ditutup selepas 25 hari

Semua PPS di Pahang ditutup selepas 25 hari

KUANTAN: Selepas 25 hari, semua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan yang menempatkan 61 orang daripada 12 keluarga, menamatkan operasi jam 10 malam tadi.

“Secara keseluruhannya, seramai 67,878 mangsa daripada 18,400 keluarga ditempatkan di 442 PPS di sembilan daerah di Pahang sepanjang 25 hari. 

“Sebanyak 21 kematian dicatatkan iaitu 11 di Bentong, Temerloh (empat), Kuantan (tiga), Raub (dua) dan Pekan (satu),” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Sementara itu, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banjir Daerah Pekan ditutup secara rasmi oleh Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Zaliza Zulkipli jam 6 petang semalam.

Sehubungan itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) Pahang memaklumkan, operasi PKOB di semua daerah dan negeri juga ditangguhkan. – HELMY ABD RAHMAN