Seorang parah dalam kemalangan dinihari di lebuh raya

Seorang parah dalam kemalangan dinihari di lebuh raya

KUANTAN: Usaha anggota Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) bantu mangsa kemalangan terbantut apabila ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dirempuh kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 244.1 Lebuhraya Pantai Timur, arah barat, dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pada 3.59 pagi itu, anggota bomba bersama lima individu lain cedera, termasuk seorang parah. 

Penolong Pengarah JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima kes itu daripada Pusat Koordinasi Kecemasan Perubatan (MECC) yang meminta bantuan EMRS bomba untuk memberikan rawatan awal dan menghantar mangsa kemalangan ke hospital. 

“Kemalangan awal membabitkan kenderaan pacuan empat roda dengan Proton Saga.  Hanya seorang cedera. 

“Ketika anggota sedang membantu mangsa kemalangan, muncul Perodua Viva dan lori satu tan yang nyaris merempuh Proton Saga yang berada di tengah lebuh raya.

“Bagaimanapun, muncul pula KIA Sorento yang kemudiannya Proton Saga itu dan menyebabkannya berpusing sebelum merempuh pula lori satu tan terbabit dan jentera EMRS yang berada di tepi lebuh raya. 

“Rempuhan itu menyebabkan anggota bomba dan mangsa yang menerima rawatan tercampak ke hadapan ketika berada dalam van EMRS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Katanya, akibat pelanggaran itu, pemandu Sorento, 4WD, lori satu tan dan seorang anggota bomba mengalami kecederaan. 

“Pasukan bomba telah memberikan rawatan awal kepada semua mangsa yang cedera dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

“Jentera EMRS kemudian ditunda oleh Bahagian Kejuruteraan Bomba Pahang di Plaza Tol Kuantan manakala pasukan EMRS Gebeng juga diambil oleh pasukan EMRS Kuantan di lokasi sama,” katanya. – FATH AHNAF