Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Empat daripada lapan lokasi pelancongan popular di negeri ini sudah mencapai status imuniti berkelompok apabila 100 peratus daripada populasinya sudah menerima dos lengkap suntikan vaksin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata lokasi pelancongan terbabit adalah Pulau Tioman di Rompin; Taman Negara di Jerantut serta Genting Highlands dan Janda Baik di Bentong.
“Bukit Fraser (Raub) pula mencapai kadar vaksinasi 94 peratus; Cameron Highlands (74.6 peratus), Temerloh (62.36 peratus) dan Rompin (31.1 peratus).
“Oleh itu, kerajaan negeri mengharapkan pemberian vaksin di empat lagi lokasi pelancongan itu dapat disegerakan untuk mencapai 100 peratus vaksinasi dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BBP) kepada wakil persatuan pemandu pelancong sekitar Kuantan dan Cherating di pekarangan pejabat Tourism Pahang, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya pengusaha sektor pelancongan termasuk pemandu pelancong menagmbil serius dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan COVID-19.
“Sebab itu amat penting untuk mereka yang belum menerima suntikan vaksin berbuat demikian kerana kita mahu melihat sektor pelancongan kembali dikunjungi ramai seperti sediakala sekali gus dapat membantu pengusaha yang terjejas untuk menjana pendapatan,” katanya.