MAJLIS Sukan Pahang (MSP) berpuas hati dengan pencapaian sepuluh pasukan yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 apabila berjaya meraih pingat dalam kejohanan itu.
Pasukan terbabit ialah menembak, olahraga, petanque, hoki (lelaki), hoki (wanita), tenpin bowling, bola jaring, gimrama, ragbi (lelaki) dan wushu.
Pengarah MSP, Zamri Hassan, berkata pasukan terbabit meraih antara satu hingga lapan pingat emas.
“Kontinjen Pahang secara keseluruhannya meraih 22 pingat emas, 21 perak dan 27 gangsa dan berada ditempat kesembilan,” katanya di Kuantan, hari ini.
Menurutnya, sukan wushu dianggap menyerlah pada SUKMA kali ini apabila berjaya meraih satu pingat emas walaupun tiada sasaran emas diletakkan untuk pasukan itu di peringkat awal.
“Sembilan pasukan dikategorikan tidak mencapai sasaran pungutan pingat yang diharapkan walaupun mereka turut menyumbang pingat.
“Sebanyak 12 pasukan gagal menyumbang pingat pada kontinjen Pahang pada SUKMA kali ini,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD