TEMERLOH: Seramai 407 pelajar sekolah menengah dan 847 murid sekolah rendah di daerah ini memperoleh manfaat menerusi ‘Pahang Pride Student’, iaitu program bantuan untuk persekolahan mereka, hari ini.
Penyampaian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad di Wisma Peneroka Bandar Pusat Jengka, dekat sini.
“Bantuan hari ini untuk 407 pelajar dari enam sekolah menengah dan 847 murid dari 12 sekolah rendah. Pahang Pride Student adalah inisiatif kerajaan negeri seperti diumumkan YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) dalam Belanjawan 2022 Pahang,” katanya, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran, Ahmad Nahran Sanguai dan Penghulu Jengka, Roswakhuzaini Abd Wahab.
Pada majlis sama, Syed Ibrahim sempat menyampaikan sumbangan cek kepada Muhammad Azli dan Nur Afzan Abu Kassim untuk aktiviti persediaan Showcase TS25 SK Bandar Pusat, Sekolah Kluster Kecemerlangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pembelian peralatan memanah bagi Persatuan Memanah Negeri Pahang.
“Sumbangan ini dipohon menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan mendapat perhatian YAB Dato’ Sri Wan Rosdy,” katanya. – ASMAH ABDUL AZIZ