Seramai 3,556 graduan UMP bakal terima ijazah, diploma tahun ini 

Seramai 3,556 graduan UMP bakal terima ijazah, diploma tahun ini 

KUANTAN: Seramai 3,556 graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) 2020 bakal menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UMP ke-15 yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula esok.

Daripada jumlah itu, seramai 234 graduan doktor falsafah dan sarjana, 2,364 graduan sarjana muda dan diploma serta 958 graduan UMP Advanced.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rosli Hainin, berkata konvokesyen itu diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Menurutnya, Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor akan menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada 533 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran.

“Selain itu, 37 anugerah dan hadiah kecemerlangan termasuk dua penerima hadiah buku dan tiga hadiah Projek Sarjana Muda (PSM) pada sesi pertama esok.

“Sebanyak tujuh sesi diadakan pada konvokesyen bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pengurusan Akademik UMP, Prof Madya Dr Mohd Shahrir Mohd Sani dan Pemangku Pendaftar, Hazmin Aris.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN