Seratus sertai Seminar Penghayatan Islam Bahasa Mandarin di Kuantan

Seratus sertai Seminar Penghayatan Islam Bahasa Mandarin di Kuantan

KUANTAN: Ramai dalam kalangan masyarakat Cina di negara ini ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Islam, namun terbatas dek kerana bahasa.

Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Mohd Shaiful Choo, berkata beliau mendapat banyak maklum balas mengenai perkara itu daripada bangsa Cina terutama yang tidak fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Ramai dalam kalangan mereka yang hanya bergaul dengan komuniti sebangsa sahaja, jadi kurang fasih dengan bahasa Melayu atau Inggeris.

“Kekangan bahasa ini menyebabkan mereka tidak mendapat maklumat tepat mengenai Islam walaupun ramai yang berminat untuk tahu secara lebih mendalam,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.

Menurutnya, atas sebab itu, MACMA dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Waqaf An-Nur dan Al-Ikhsan Sports mengambil inisiatif mengajurkan Seminar Penghayatan Islam Bahasa Mandarin 2022 Zon Pantai Timur.

“Seminar ini disertai 100 saudara baharu terdiri daripada masyarakat Cina di Pantai Timur. Seramai tujuh penceramah jemputan terbabit dalam program kali ini.

“Alhamdulillah, kita dalam program berlangsung 12 hingga 14 Ogos ini membuka hati seorang bukan Islam untuk memeluk Islam,” katanya.

Katanya, sejak pertama kali dianjurkan pada 2003, seminar berkenaan sudah 15 kali diadakan.

“Peserta memberi sambutan baik dan berharap program ini diadakan setiap tahun untuk menambah kefahaman mereka terhadap Islam.

“Peserta dan penganjur turut mendekati dan bermesra dengan masyarakat Tionghua di Kampung Jawa (di sini) dan mengedarkan buku serta risalah berkaitan Islam ,” katanya.

Seminar Penghayatan Islam Bahasa Mandarin 2022 Zon Pantai Timur dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – HELMY ABD RAHMAN