Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic/video Mohd Imran Izzad
TEMERLOH: Seksyen Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan serbuan ke atas 22 kilang papan di daerah ini bagi mengesan balak curi menerusi Op Kilang.
Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Zon Pahang Timur JPNP, Muhammad Firdaus Abdul Kadir @ Yusof berkata, pemeriksaan turut dilakukan bagi mengesan beberapa kesalahan lain dilakukan kilang papan seperti gagal menyediakan rekod penerimaan atau kemasukan balak ke kilang mereka.
Menurutnya, jabatan memandang serius kesalahan yang dilakukan kilang papan dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan terutama membabitkan kesalahan berkaitan menerima balak curi daripada pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, semua pas memindah balak diperiksa bagi memastikan semua balak yang terdapat di matau atau pusat pengumpulan balak di setiap kilang papan berada dalam senarai pas terbabit.
“Terdapat sebanyak 64 kilang papan di daerah ini termasuk di Bera yang berdaftar dengan JPNP yang terletak di beberapa kawasan perindustrian seperti di Songsang dan Mentakab.
“Op Kilang diadakan susulan aduan yang menyatakan terdapat beberapa kilang papan di daerah ini menerima balak curi,” katanya dihubungi di sini, semalam.
Op Kilang diadakan selama tiga hari berakhir semalam, membabitkan lebih 25 kakitangan Unit Penguat kuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Muhammad Firdaus berkata, pihaknya akan terus mengadakan Op Kilang di setiap daerah di negeri ini bagi mengekang kegiatan membawa masuk balak curi oleh sendikit yang didalangi individu tertentu.
“Kita akan menyenarai hitam kilang papan yang mempunyai rekod menerima balak curi. Anggota UPK dan UTK menggunakan pelbagai cara bagi mengesan kegiatan salah itu.
“Mereka jangan fikir boleh terlepas. Sekiranya terbukti bersalah pemilik kilang papan akan dikenakan kompaun mengikut Enakmen Industri Berasas Kayu 1985, balak dan kayu bergergaji serta kilang akan disita,” katanya yang akan terus bertindak tegas apa juga kesalahan dilakukan.