JERANTUT: “Tidak lama lagi saya akan memiliki MyKad yang menjadi bukti sebagai warga negara Malaysia. Rakan sekampung pun sama,” kata Banai Tambat, 24.
Banai adalah antara 14 Orang Asli Bateq daripada lima keluarga yang menetap di Kampung Keniam dan Kampung Cangkung, dekat sini, yang mengikuti program pendaftaran lewat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, semalam.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi.
Banai berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada JAKOA yang membantu Orang Asli Bateq mendapatkan dokumen pengenalan diri sama dengan masyarakat lain.
Sementara itu, Johari berkata, maklumat yang dikumpul akan diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tujuan proses mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad.
“JAKOA akan terus mengadakan program pendaftaran lewat di semua daerah di negeri ini dalam memastikan semua Orang Asli memiliki sijil kelahiran dan MyKad dengan kerjasama dengan JPN,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD