Seronoknya dapat lepas anak penyu di Tioman

Seronoknya dapat lepas anak penyu di Tioman

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

ROMPIN: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan 400 anak penyu jenis agar di Pulau Tioman sebagai usaha menambahkan lagi pendaratan reptilia itu di pulau peranginan berkenaan.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar, berkata Pulau Tulai yang terkenal dengan terumbu karang menjadi tempat pelepasan anak penyu berusia seminggu yang pertama kali dilakukan pihaknya di pulau itu.

Menurutnya, rekod Cawangan Taman Laut Pulau Tioman mendapati ada 20 pendaratan kira-kira 10 ekor penyu jenis agar dan lipas di Pulau Tulai, tahun ini. 

Katanya, penyu juga mendarat di Kampung Juara dan beberapa kampung lain di Pulau Tioman, hampir setiap tahun. 

“Jabatan kini giat berusaha untuk menjadikan Tioman sebagai lokasi pendaratan penyu di Pahang dan pelbagai usaha sedang dilakukan dengan kerjasama masyarakat setempat. 

“Antara usaha dilakukan ialah mengadakan program pelepasan anak penyu dari semasa ke semasa di samping kempen kesedaran jangan makan telur penyu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas aktiviti pelepasan 400 anak penyu jenis agar di Pulau Tulai disertai lebih 80 pelancong dan penduduk setempat sempena Program Kesedaran Awam Terhadap Kepentingan Pemuliharaan Sumber Maritim Pahang 2021.

Hadir pada program berkenaan Ketua Cawangan Dan pengurusan sumber Jabatan Perikanan Pahang, Halina Hashim.

Pada program berkenaan turut diadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan pantai, penerangan mengenai kepentingan penyu dan kempen jangan makan telur penyu.