ROMPIN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyumbangkan seratus pokok buah-buahan buat penduduk Kampung Juara, Pulau Tioman, semalam.
Sumbangan itu diadakan sempena program ‘Moh La Weh’ Tanam Pokok 5juta@Pulau Tioman yang julung kali diadakan di pulau peranginan itu.
Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I) JPNP, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, antara pokok buah-buahan yang diagihkan ialah jambu, ciku, mata kucing, mempelam dan meranti Kuantan (Shorea kuantanensis).
Menurutnya, sumbangan pokok berkenaan diharap menambahkan lagi keunikan Kampung Juara yang sememangnya sudah terkenal dengan pengeluaran durian kampung dan beberapa buah-buahan tempatan lain.
“Kami turut menanam enam pokok ciku dan mata kucing di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Juara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Juara, Razib Ali Awang berkata, program ‘Moh La Weh’ yang diadakan dapat mengeratkan lagi hubungan masyarakat tanah besar dengan penduduk Kampung Juara.
“Saya bagi pihak penduduk Kampung Juara mengucapkan terima kasih kepada JPNP yang menyumbang pokok buah-buahan kepada penduduk. Pemberian berkenaan amat bermakna,” katanya.- MOHD IMRAN IZZAD