Seruan Rabiul Awal dari YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Negeri Pahang, sempena ketibaan Rabiulawal, iaitu bulan kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.
Rasulullah SAW Penyelamat Ummah.
Pada 18 Oktober 2020, maka bermulalah tarikh ini masuknya 1 Rabiulawal 1442H yang merupakan bulan kelahiran seorang insan yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Kelahiran susuk tubuh yang dipuji-puji peribadinya oleh AlQuran :
وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ
“Sesungguhnya engkau duduk diatas peribadi yang teragung”.
Kelahiran beliau yang mampu menyejukkan segala kepanasan, merungkaikan segala kebuntuan, menghuraikan segala kekusutan, juga menyelamatkan segala kesesatan. Beliau lah yang kelahirannya disebut dalam AlQuran :
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ
“Dialah Allah yang telah mengutuskan dikalangan mereka yang buta huruf, seorang Rasul dikalangan mereka sendiri”.
Apa yang menjadi tuahnya kepada negara kita Malaysia hari ini, yang ditimpa sedikit ujian dari Allah SWT, bagaimana manusia itu sanggup untuk meniru peribadi Rasulullah dalam merungkaikan kekusutan itu. Kita dapat lihat negara kita diuji kepimpinannya, seolah-olah masing-masing hilang kepercayaan diantara satu sama lain sedangkan mereka dikalangan orang orang yang memimpin. Ataupun mereka diuji dengan kuasa setelah dipinjam oleh Allah sejenak, bagaimana untuk mereka berlaku bijak dan saksama sesama manusia. Ada juga diuji dengan rasa tidak puas hati kepada orang lain. Ada juga diuji merasakan dirinya sendiri sahaja yang berlaku benar sedangkan orang lain bergelumang dengan kesalahan. Ada juga diuji dengan rasa dirinya sahaja yang layak sebagai pemimpin dan orang lain dianggap tidak mampu. Ada juga diuji dengan tanggapan yang berbaur perkauman dan ingin merentap hak sesama kemanusiaan dengan cara yang luar daripada norma kenegaraan.
Sebenarnya ini, adalah Ibtila’ dari Allah SWT sejauh mana manusia itu sanggup untuk menangani segala-galanya dengan berpandukan didikan, fitrah kemanusiaan yang dicipta oleh Allah atau sebaliknya memaksa kehendak diri mereka atau puak mereka atau lingkungan mereka didahulukan. Inilah, yang difirmankan oleh Allah SWT :
وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
“Dan kami uji kamu (wahai manusia) dengan perkara buruk dan perkara baik sebagai fitnah, dan sebenarnya kamu akan kembali kepada kami”
Firman ini nak menyedarkan kita bahasawanya kita ini hamba kepada Allah dan Allah ingatkan ini jalan yang berliku dan ini jalan yang lurus. Disamping kita diperintahkan untuk mengambil jalan yang lurus agar kita dapat kembali kepada Allah dengan sempurna.
Jalan yang lurus itulah, jalan yang telah ditunjuk oleh Nabi kita Muhammad SAW, sebagimana didalam Firman-Nya :
قل هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah wahai Muhammad, inilah jalanku. Yang aku serukan kepada Allah dengan jelasnya aku dan bersama orang-orang yang mengikut aku dan Maha Suci Allah tidaklah aku menyekutui-Nya”.
Bagi mendapat jalan yang dibawa oleh Rasulullah, tidak dapat tidak, kita perlu mendapatkan Rasulullah terlebih dahulu. Kita tidak boleh mengandaikan dengan pemikiran kita, mentafsirkan dengan hawa kita, memahamkan dengan corak kehendak kita, tetapi kita mestilah mengenali Rasulullah sebagaimana yang dikenalkan oleh Allah SWT.
Kelahiran Rasulullah adalah anugerah Allah kepada kita untuk menjadi panduan dan tauladan. Rasulullah juga tidak pernah culas untuk menyelamatkan kita dari sebarang permasalahan, pertelegahan, perebutan, bahkan peperangan. Rasulullah berusaha gigih, mengeluarkan kita semua dari kemelut itu. Bahkan, didalam benak jiwa Rasulullah tidak mahu sedikit pun kita merasa resah dan gelisah, sebagaimana firman Allah ;
عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Didalam benak jiwa Rasulullah, apa sahaja yang menyebabkan kamu resah, sangat mengambil berat terhadap kamu, dan bersama orang orang beriman itu, dia bersifah lembut dan kasih sayang” .
Begitu sekali lah, Rasulullah disisi dan bersama dengan kita.
Hari ini, kita sangat perlu kepada Rasulullah dalam merungkaikan segala permasalahan. Cuma, kita jangan dust
ai apa yang kita perlu itu dek kerana kita cuba melindungi jiwa kacau yang sedang meragut keimanan kita, kita jangan dustai apa yang kita perlukan supaya kita selamat dengan Rasulullah. Kita jangan dustai bantuan Rasulullah yang telah Allah anugerahkan kepada kita.
Jadikan Rabiulawal ini sebuah tuah yang menyelamatkan kita semua dari kehancuran murka Allah SWT dan jangan sampai kita diangkat nikmat oleh Allah dan diturunkan kemurkaanNya. Allah berfirman ;
ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِّعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَىٰ قَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Yang demikian itu sesungguhnya Allah tidak sama sekali mengubah (kurniaan) nikmat terhadap sesuatu kaum sehingga lah kaum itu sendiri, memusnahkan (nikmat yang dikurnia) dengan diri mereka sendiri. Dan sesungguhnya Allah sangat mendengar lagi mengetahui”
Binalah ujian ini dengan mengambil anugerah Rabiulawal, kelahiran Rasulullah dan keberadaan Rasulullah untuk menyelamatkan diri kita, masyarakat kita, tanah air kita, bahkan agama kita, dengan menjadikan Rasulullah sebagai pengantara penyelesaian segala permasalahan kita. Sebagaimana firman Allah swt,
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمً
“Tidak sama sekali Demi tuhan engkau (wahai Muhammad) beriman mereka, sehinggalah mereka (sanggup) menjadikan engkau sebagai hakim terhadap apa yang sedang mereka bertelingkah dan mereka tidak rasa sedikitpun kecewa terhadap hukuman engkau. Bahkan, mereka menerima setulus-tulusnya”.
Namun, cara untuk mengambil Rasulullah sebagai pendamai kita. Pertamanya, mestilah yakin keberadaan dan kebersamaan Rasulullah dengan kita terlebih dahulu. Sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT. Didalam firmanNya;
وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ ۚ
“Ketahuilah bersama dengan kamu ada Rasulullah”
Keduanya, mengetahui apa sebenarnya yang sepatut kita dahulukan daripada yang dibawa oleh Rasulullah sebagai anugerah penyelamat kepada kita. Dan yang ketiga, kita sanggup untuk tidak mengutamakan kehendak kita serta suara kita daripada apa yang telah dibawa dan dibimbing oleh Rasulullah. Ini juga, telah ditegaskan oleh Allah SWT didalam firmanNya,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ
“Wahai orang orang yang beriman jangan kamu melebihi suara kamu daripada suara nabi, dan jangan kamu melantangkan bicara kamu seperti bicara diantara sesama kamu. Jika kamu berlaku yang demikian, musnahlah amal kerja kamu, sedang kamu tidak merasanya”
Kita juga mestilah meletakkan keyakinan bahawasanya bahtera penyelamat kita adalah Rasulullah. Sebagaimana juga yang difirmankan oleh Allah;
قُلْ مَن يُنَجِّيكُم مِّن ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ تَدْعُونَهُ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً لَّئِنْ أَنجَانَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ
“Katakan wahai Muhammad siapakah yang menyelamatkan kamu daripada kegelapan dibumi dan dilaut yang kamu merayu ketika kamu diuji secara merendah diri dan bimbang dengan ungkapkan kamu Seandainya kami diselamatkan dari ujian ini kami akan menjadi orang orang yang bersyukur”
Sehubungan itu, marilah sama sama kita kembali kepada Rasulullah, duduk dibawah payung syafaatnya, binakan persaudaraan sebagaimana yang telah beliau bina, ambillah kemaafan sebagaimana yang baginda anjurkan. Mula kan lah segala galanya dengan diri kita terlebih dahulu sebelum orang lain. Betulkan lah segala liku liku itu dengan ketekunan dan kejujuran sebagaimana yang telah baginda tauladankan. Tunjuklah rasa kasih sayang, sejujur jujurnya sebagaimana telah ditunjuk oleh baginda SAW. Jangan kita dustai diri kita dan rakan kita bagi menyelamatkan kehendak peribadi kita semata-mata. Moga moga dengan Rasulullah jualah kita diselamatkan oleh Allah.
SALAM MAULIDURRASUL 1442 Hijrah.