Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
BENTONG: Deepavali di Pahang disambut sederhana dalam suasana Keluarga Malaysia yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum dengan pelbagai latar belakang.
Kehadiran pelbagai kaum seperti Melayu dan Cina dalam sambutan mengikut prosedur operasi standard (SOP) menunjukkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sambutan Deepavali yang dihadiri pelbagai lapisan masyarakat jelas menunjukkan perpaduan antara kaum segar dengan semangat muhibah yang tinggi.
“Saya mengucapkan selamat Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu di seluruh negara dan khusus di Pahang.
“Saya menyeru seluruh rakyat di negeri ini agar terus tingkatkan muhibah kerana perpaduan dan keharmonian sangat penting,” katanya pada majlis sambutan Deepavali di kediaman Pegawai Khas Menteri Besar, Dato’ Jasvir Singh Ram Singh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Mohd Zulkifli Hashim dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.
Pada majlis itu Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan dan kanak-kanak kurang upaya.