KUANTAN: Seramai 1,742 murid dan pelajar di 15 sekolah rendah serta menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar menerima bantuan set persekolahan Pahang Pride Student disediakan Kerajaan Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata bantuan awal persekolahan itu bagi meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan belajar untuk anak masing-masing.
Menurutnya, set persekolahan Pahang Pride Student dilengkapi pelbagai kelengkapan belajar antaranya alat tulis, buku tulisan, botol air, kamus dan bekas mengisi alat tulis.
“Agihan bantuan ini dilakukan secara berperingkat sebelum sesi persekolahan 2022 bermula pertengahan bulan ini.
“Pihak sekolah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
akan menguruskan pemberian bantuan berkenaan,” katanya pada gimik penyerahan bantuan berkenaan, di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar.
Mohammad Fakhruddin menambah, penerima set persekolahan Pahang Pride Student turut layak menerima kad diskaun pelajar yang digunakan membeli peralatan persekolahan di kedai terpilih. – MOHD IMRAN IZZAD