Sg Pontian, Sg Rompin banyak udang galah

Sg Pontian, Sg Rompin banyak udang galah

ROMPIN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang melepaskan 130 ,000 benih udang galah ke Sungai Pontian dan Sungai Rompin, di sini, dalam usaha menambah stok perikanan bernilai tinggi di kawasan itu. 

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pelepasan benih dan induk udang bernilai tinggi itu dapat memperkayakan sumber perikanan di dua sungai berkenaan seterusnya dapat menambah pendapatan nelayan darat khususnya Orang Asli setempat.

Katanya, jabatan berharap nelayan darat dan masyarakat setempat dapat memanfaatkan kekayaan sumber perikanan yang disediakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.

Menurutnya, aktiviti pelepasan benih udang galah yang diadakan setiap tahun dapat meningkatkan stok sumber perikanan khususnya yang bernilai tinggi bagi menjamin bekalan makanan negara.

“Saya yakin pendapatan nelayan darat di Sungai Pontian dan Sungai Rompin akan bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pelepasan benih dan induk udang galah yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim di Sungai Pontian dan Sungai Rompin, di sini, pada 19 Julai lalu. –  MOHD IMRAN IZZAD