Shahar turun padang jenguk masalah rakyat 

Shahar turun padang jenguk masalah rakyat 

KUANTAN: Masalah sistem perparitan di Kampung Lubuk Puyu, di sini, mendapat perhatian Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

Mohd Shahar berkata, kerja pembinaan sedang dilaksanakan dalam usaha mengatasi masalah air bertakung dan sistem perparitan yang tidak sempurna.

“Saya terima banyak aduan berkenaan isu ini daripada kepimpinan setempat dan saya telah ambil langkah awal untuk menurap batu pada takungan air dan membina longkang baharu.

“Alhamdulillah, kerja pembinaan sedang berjalan dan Insya Allah tidak lama lagi akan siap,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kewangan I.

Justeru, beliau berharap sedikit sebanyak usaha itu dapat mengurangkan keluh resah masyarakat Kampung Lubuk Puyu yang menghadapi kesulitan kerana masalah ini.   

“Saya akan bantu sebolehnya dan apa yang penting saya mahu penduduk selesa. Hati-hatilah apabila melalui kawasan ni kerana kerja pembinaan masih berjalan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN