KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengumumkan peletakan jawatan itu dan pada masa sama mendesak Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat susulan kekalahan memalukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.
Katanya, selepas ini, pemimpin dan individu lain harus diberi laluan untuk membuat keputusan besar parti.
“Tanpa mengurangkan hormat kepada beliau (Ahmad Zahid) sebagai individu, saya berpandangan pemimpin nombor satu, Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini dengan berundur secara terhormat.
“Atas semangat ‘collective responsibility’ (tanggungjawab bersama) itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO. Saya menghargai peluang yang diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar,” katanya di media sosial, hari ini.
Menurutnya, beliau akan terus kekal dan setia dengan UMNO, biarpun berdepan tempoh sukar.
“Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. ‘This is not the end’ (ini bukan pengakhiran),” tegasnya. – HELMY ABD RAHMAN