KUANTAN: Setiap ahli UMNO perlu merendahkan ego dan bermuhasabah diri seandainya ingin memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setiap ahli UMNO juga tidak boleh alpa dan terbuai di zon selesa walaupun berjaya mencapai kemenangan bermaruah dan berprinsip pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Melaka serta Johor sebelum ini.
Katanya, meskipun kemenangan itu membuktikan parti keramat itu masih mendapat kepercayaan dan sokongan padu setiap lapisan rakyat, ia bukanlah tiket untuk menjamin keputusan yang berpihak kepada UMNO.
“Jangan pula kemenangan ini membuatkan kita alpa dan dibuai mimpi di zon selesa kerana hakikatnya, peperangan sebenar baru sahaja bermula… peperangan yang akan menentukan jatuh bangun dan hidup mati parti ini serta ‘survival’ bangsa Melayu di tanah airnya sendiri.
“Fokus utama kita ialah untuk mencapai kemenangan dalam PRU-15 yang akan berlangsung bila-bila masa dari sekarang. Kita tidak boleh kalah dalam peperangan ini… kerana azab, kesan dan natijahnya terlalu besar,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), negara ini hampir menjadi padang jarak padang terkukur.
“Bangsa Melayu dihina dan diperlekehkan di tanah air sendiri. Islam dipertikai, diasak bertubi-tubi dan tidak langsung dihormati sebagai agama rasmi. Rakyat menderita dan kebajikan mereka tidak langsung dipeduli,” kata Menteri Besar Pahang itu.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-76 kepada seluruh ahli UMNO di setiap peringkat.
Beliau mengajak ahli UMNO membulatkan tekad dan azam serta berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan parti itu terus mendapat sokongan padu rakyat.
“Ayuh kita atur gerak kerja dan tindakan bermula sekarang. Kerana masanya makin hampir tiba.
“Saya mendoakan supaya Allah SWT memberikan petunjuk, kekuatan dan daya juang yang tinggi kepada kita semua untuk terus berjuang mempertahankan amanah besar bangsa,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN