Siapkan segera rumah rakyat, titah Al-Sultan Abdullah 

Siapkan segera rumah rakyat, titah Al-Sultan Abdullah 

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah menitahkan semua kontraktor yang diamanahkan membina Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah menyiapkan projek itu secepat mungkin. 

Baginda bertitah, proses pembinaan itu sepatutnya siap sebelum kedatangan tengkujuh yang dijadualkan bermula pertengahan November depan.

“Walaupun keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, pembinaan rumah berkenaan perlu disegerakan agar penerima dapat berpindah secepat mungkin. 

“Namun, kualiti dan mutu pembinaan perlu diberi keutamaan dan janganlah buat ala kadar walaupun perlu disiapkan segera,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan untuk mangsa banjir negeri Pahang di Kampung Temai Hulu, dekat Pekan, hari ini. 

Surat tawaran bantuan itu adalah daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden Bulan Sabit Merah UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Sebanyak 123 unit Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah dibina bagi penduduk terjejas banjir di daerah Pekan, Lipis, Jerantut, Raub, Maran, Temerloh dan Bentong. 

Kerajaan UAE pula sudah menyalurkan dana berjumlah RM12.75 juta untuk membantu Kerajaan Pahang menangani masalah banjir dan menjayakan projek pembinaan rumah rakyat berkenaan. – KHALEEF FITRI