Sidang DUN terbaik

Sidang DUN terbaik

KUANTAN: “Hari ini punya dewan (persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang) very good (sangat bagus)… ‘the best ever’ (yang terbaik) sejak saya jadi ahli dewan ‘since’ (sejak) 2004,” demikian reaksi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebaik ditanya mengenai Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Ini kerana, menurutnya, persidangan itu berjalan dalam keadaan teratur dan aman serta paling singkat dalam sejarah.

“Inilah sidang DUN paling aman, tenteram dan paling cepat dalam sejarah. Saya kira tadi, dua jam 55 minit sudah selesai.

“Jadi saya ucapkan terima kasih, syabas dan tahniah terutamanya kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan (Dato’ Sri Ishak Muhamad), rakan-rakan ahli yang berhormat sama ada daripada kerajaan (negeri) mahupun pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Sidang DUN Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai kerajaan yang menyalurkan maklumat kepada kerajaan negeri sekali gus membolehkan mereka memberikan jawaban tepat, padat dan bernas terhadap setiap soalan dikemukakan.

“Kepada rakan-rakan dalam EXCO (kerajaan negeri), juga kepada pegawai kerajaan diketuai Setiausaha Kerajaan negeri (Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak) yang memberikan kita maklumat dan ini membolehkan kita memberikan jawaban padat, bernas dan saya percaya pihak yang bertanya soalan dan pembangkang berpuas hati dengan penjelasan diberikan. 

“Sebagai contoh, saya ada dua soalan hari ini yang ditanya ahli dewan, (tetapi) tidak ada soalan tambahan… yang pertama berkaitan air dan kedua STR (Skim Tanah Rakyat) dan mungkinlah maklumat yang diberikan itu begitu jelas sehinggakan tidak ada soalan tambahan daripada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap suasana dan keadaan hari ini dapat dikekalkan pada persidangan DUN akan datang.

“Dewan yang mulia ini tempat kita membawa mandat rakyat, bukan untuk mencari kesalahan tanpa alasan kukuh. Maknanya, isu dibawa (adalah) isu yang betul untuk kita bincang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN