KUANTAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang memuji sikap peniaga pasar Ramadan kerana berjaya menguruskan sisa dengan baik.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, berkata semua sisa terutama makanan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dibuang terus ke dalam tong sampah yang disediakan.
Katanya, sebahagian peniaga juga sentiasa membersihkan kawasan luar meja perniagaan mereka bagi memastikan tiada gangguan seperti lalat.
“Sepanjang tiga hari Ramadan, sisa jualan daripada peniaga masih rendah dan terkawal berdasarkan kempen kesedaran yang sentiasa dilaksanakan setiap tahun. Oleh itu kita harap sikap ini dapat diteruskan sehingga berakhirnya Ramadan,” katanya.
Mengulas sikap pengunjung bazar Ramadan pula, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.
Katanya, ini kerana ada dalam kalangan pengunjung yang membawa beg plastik sendiri dari rumah bagi mengelak penggunaan plastik secara berlebihan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN