PERASAAN kecewa tidak dapat disembunyikan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel selepas skuadnya tewas 1-3 di tangan Selangor FC, malam tadi.
Katanya, kesilapan mudah yang dilakukan anak buahnya menyebabkan skuad Tok Gajah terlepas untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata.
“Kesilapan individu menjadi punca kami tewas ketika pasukan mampu untuk memberi saingan kepada tuan rumah.
“Namun, pemain gagal untuk memberikan tekanan itu, sebaliknya Selangor bermain dengan baik terutama di bahagian serangan mereka,” katanya.
Pada perlawanan itu, gol tunggal Sri Pahang dijaringkan oleh pemain tengah, Nor Azam Azih pada minit ke-61.
Tiga gol Selangor pula, masing-masing satu dijaringkan Herlison Caion, Hyuri Henrique dan Yazan Mousa pada m-37, m-52 dan m-75. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN