Simulasi perkemas operasi menyelamat

Simulasi perkemas operasi menyelamat

PEKAN: Menyelamat mangsa banjir menggunakan bot dan menambahkan kecekapan pengendali bot ketika bah adalah antara simulasi yang diadakan pada program latihan amali menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).

Latihan disertai 32 anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia daripada Balai Peramu dan Balai Pekan serta Bomba Sukarela Pulau Manis itu diadakan di Sungai Pahang menggunakan empat bot penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata latihan bertujuan menambahkan lagi kecekapan dan membentuk persefahaman yang lebih berkesan dikalangan anggota.

Menurutnya, latihan diberi keutamaan membabitkan aktiviti menyelamat mangsa banjir di air dan menambahkan lagi kecekapan pengendali bot berhadapan arus deras  air terutama kawasan berhampiran Sungai Pahang.

“Latihan kali ini lebih mencabar apabila diadakan ketika hujan, semangat tinggi yang ditunjukan anggota melancarkan lagi latihan yang diadakan lebih dua jam itu.

“Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, peralatan menyelamat dan pengangkutan sentiasa diberi perhatian,” katanya.

Turut sama menyertai latihan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, 

Abdul Aziz Daud. – MOHD IMRAN IZZAD.