Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
Pekan: Menyelamat mangsa banjir dan pesakit Covid-19 ketika bah adalah antara simulasi yang diadakan pada program latihan menghadapi bencana Monsun Timur Laut (MTL).
Latihan disertai 21 anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia daripada Balai Peramu dan Balai Pekan, diadakan di Sungai Pahang menggunakan enam bot penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Penolong Penguasa Bomba Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata latihan bertujuan menambahkan lagi kecekapan dan membentuk persefahaman yang lebih berkesan dikalangan anggota.
Menurutnya, tiga jenis latihan diberi keutamaan membabitkan aktiviti menyelamat mangsa banjir di air dan darat di samping memindahkan pesakit Covid-19 yang memerlukan anggota memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).
“Walaupun panas, semangat tinggi yang ditunjukan anggota melancarkan lagi latihan yang diadakan,” katanya.
Wan Samsul Effendi berkata, keadaan banjir di daerah ini berbeza dengan tempat lain terutama membabitkan kawasan berhampiran Sungai Pahang.
Oleh itu, katanya, persediaan anggota, peralatan menyelamat dan pengangkutan sentiasa diberi perhatian.