Sinar baharu buat pengusaha bot Taman Negara

Sinar baharu buat pengusaha bot Taman Negara

JERANTUT: Sektor pelancongan yang kembali aktif kini memberi sinar baharu kepada lebih 70 pengusaha bot pelancong di Taman Negara di sini.

Selepas hampir dua tahun tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka mula menyediakan perkhidmatan apabila semakin ramai pelancong tempatan datang bercuti.

Bagi Syed Rafi Sy Mohamad, 54, disebabkan PKP hampir dua tahun dia tidak dapat meneruskan aktiviti membawa pelancong menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Keniang yang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan serta luar negara.

“Sebelum ini hampir setiap minggu saya membawa pelancong memancing di beberapa lubuk selain menjadikan bot sebagai pengangkutan untuk penduduk kampung di sepanjang sungai seperti Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.

“Bagaimanapun disebabkan PKP, saya terpaksa melakukan kerja kampung antaranya menangkap ikan di sungai bagi menyara keluarga,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sejak sektor pelancongan di Taman Negara di buka semula, dia mula menyambung aktiviti membawa pelancong menaiki bot untuk pelbagai kegiatan di sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Keniang.

“Saya bersyukur apabila dapat menyambung semula tugas sebagai pemandu bot panjang yang membawa pelancong untuk memancing selain melihat keindahan pemandangan sepanjang sungai,” katanya.

Dia yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pemandu bot panjang berkata, apa yang diharapkan, sektor pelancongan negara dapat terus aktif tahun depan bagi menambahkan lagi sumber rezeki pemandu bot di daerah ini.

Rakannya, Abdullah Fazil Abd Aziz, 37, pula berkata, selepas sektor pelancongan dibuka, ramai pelancong datang ke Taman Negara Pahang dan menggunakan perkhidmatan bot panjang yang disediakan untuk melakukan aktiviti seperti memancing, menyusuri sungai sambil berkelah.

“Saya berharap pihak berwajib dapat mengadakan program promosi supaya lebih ramai lagi pelancong berminat datang ke Taman Negara Pahang yang menyajikan keindahan alam semula, sungai dan pelbagai produk lain,” katanya yang berasal dari Kampung Pagi, di sini. – MOHD IMRAN IZZAD.