BENTONG: Jabatan Perikanan Pahang menyalurkan bantuan peralatan memproses berjumlah RM40,000 kepada usahawan keropok lekor Sujoh, di sini, selepas premisnya terjejas akibat ditenggelami banjir hujung tahun lalu.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar, berkata pemilik premis berkenaan adalah usahawan bimbingan Jabatan Perikanan Pahang yang menghasilkan produk keropok, sos pencicah dan popia satar.
Katanya, dalam kejadian banjir besar tahun lalu, banyak peralatan memproses keropok dan bahan mentah rosak sehingga menjejaskan perniagaan pengusaha terbabit.
“Jabatan memberikan bantuan peralatan dan kelengkapan pemprosesan produk perikanan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) bernilai kira-kira RM40,000.
“Bantuan ini diharapkan dapat membantu usahawan terbabit meneruskan perniagaan diusahakannya,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD