Sinar menanti buat mangsa banjir

Sinar menanti buat mangsa banjir

BENTONG: Sebanyak 148 unit rumah baharu membabitkan nilai pembangunan kasar lebih RM44 juta (GDV) untuk mangsa banjir di negeri ini, dijangka siap selewat-lewatnya pertengahan September depan.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pembinaan kediaman itu membabitkan nilai RM75,000 seunit untuk yang tidak bertiang dan RM100,000 (bertiang) selain 3,948 unit rumah dibaik pulih dengan anggaran kos sehingga RM15,000 seunit.

Katanya, ia adalah hasil peruntukan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain sumbangan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Malaysia.

“Peruntukan ini bagi membina baharu rumah yang ‘total lost’ (musnah) dan membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan ketika Pahang dilanda banjir pada penghujung 2021.

“Kerja-kerja bina baharu 148 unit rumah bermula bulan ini (Jun 2022) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan September nanti, manakala bagi rumah yang dibaik pulih, pula bermula Januari lalu dan sebahagiannya masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pelbagai agensi terbabit dalam pelaksanaan kerja-kerja bina baharu dan baik pulih semua rumah berkenaan iaitu Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), PR1MA Malaysia, FELCRA Bina dan Giat Mara.

“Kerajaan negeri juga setakat ini melantik 90 kontraktor di seluruh Pahang bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan manakala 13 lagi akan dilantik dalam masa terdekat.

“Hari ini, sempena Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang di Bentong, saya telah menyerahkan surat lantikan kepada kontraktor-kontraktor dari Bentong dan Raub,” katanya.

Tambahnya, proses pembinaan dan baik pulih sentiasa dipantau kerajaan negeri sehingga disiapkan dengan sempurna.

“Diharapkan dengan bantuan ini, mangsa-mangsa banjir dapat menikmati keselesaan hidup selepas bencana yang melanda.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam soal kebajikan rakyat dan akan menyalurkan segala bentuk bantuan sewajarnya bagi membela nasib mereka yang memerlukan,” katanya. HELMY ABD RAHMAN