JERANTUT: Siren amaran banjir berbunyi lagi di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, buat kali kedua tahun ini pada kira-kira 5 pagi, hari ini.
Siren itu sebagai isyarat agar penduduk berwaspada mengenai kenaikan air Sungai Tembeling yang sudah berada di paras bahaya.
Hujan lebat sejak tiga hari lalu di kawasan hulu Sungai Tembeling dan Sungai Gusai menyebabkan air melimpah ke kawasan dataran Bantal yang menempatkan kedai penduduk.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rasid, 45, berkata hujan lebat menyebabkan hulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia dinaiki air begitu cepat dan arus mula deras.
“Mungkin banjir kilat berlaku lagi memandangkan hujan lebat tidak berhenti. Sekiranya hujan berterusan, paras air akan naik, melimpah seperti kejadian pada 17 Disember 2021,” katanya.
Katanya, penduduk sudah kerap mengalami suasana sedemikian dan bersedia sekiranya kemungkinan berlaku banjir kilat.
“Kita berdoa dan berharap hujan tidak berterusan kerana bencana banjir ini menyebabkan penduduk tidak dapat bekerja serta kesulitan bagi mereka yang menggunakan bot penambang,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE