Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Lima usahawan mikro dan industri kecil sederhana (IKS) yang terjejas akibat Covid-19 menerima bantuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbabit.
“Program ini dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti persembahan produk dalam usaha membantu usahawan berkenaan untuk memperhebatkan lagi hasil jualan mereka.
“Usahawan menerima bantuan seperti pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, bahan promosi dan juga asas pemasaran digital,” katanya dalam sidang media selepas Program Lawatan Kerja Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin di Pejabat SIRIM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin dan Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur), Dato’ Hishamuddin Abdullah.
Katanya, di akhir program berkenaan, usahawan akan menerima reka bentuk logo, label atau pembungkusan makanan lengkap dengan fakta nutrisi serta bahan promosi seperti bunting.
“Usahawan juga diberikan kursus asas mengenai pembungkusan dan penjenamaan produk, serta asas promosi secara digital termasuk di media sosial serta platform beli-belah dalam talian.
“Kursus asas ini dikendalikan oleh pakar daripada pusat reka bentuk, pembungkusan dan percetakan keselamatan SIRIM dan SIRIM Training (STS Sdn Bhd)
“Khidmat pengujian nutrisi produk makanan dan minuman dikendalikan oleh anak syarikat SIRIM iaitu SIRIM QAS International Sdn Bhd,” katanya.