Siso kongsi ilmu seni dengan pelajar dalam Parlimen Paya Besar

Siso kongsi ilmu seni dengan pelajar dalam Parlimen Paya Besar

KUANTAN: Pelajar dalam Parlimen Paya Besar berpeluang menyaksikan persembahan Siso Kopratasa menerusi program jelajah di sekolah terpilih yang akan diadakan.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, program julung kali diadakan itu untuk tatapan generasi muda.

Katanya, Siso Kopratasa adalah penggiat seni tanah air, anak kelahiran Balok dan terus diberi ruang berkongsi pengalaman seni dengan pelajar.

“Saya percaya walaupun Siso Kopratasa atau nama sebenarnya Syed Indera Syed Omar mencipta nama lebih 25 tahun lalu, karya seninya masih boleh diterima. 

“Sebagai anak jati Pahang. Siso perlu diangkat sebagai insan seni yang memiliki istimewa luar biasa, Siso bukan sahaja penyanyi tetapi juga pelakon, penulis skrip, pengarah dan penggiat teater,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Produk Seni Berbudaya Buku Biografi ‘Siso Kopratasa, Dari Balok Ke Pentas Seni’, di sini.

Buku biografi itu diterbitkan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). – MOHD IMRAN IZZAD