KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengarahkan agensi bertanggungjawab untuk memeriksa semula sistem perparitan di bandar raya ini bagi mengurangkan risiko banjir besar pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung aliran air yang banyak yang menyebabkan limpahan longkang seterusnya banjir.
“Walaupun keadaan air sekarang ini dalam trend menurun, namun kita mesti berwaspada untuk memastikan sistem perparitan disemak dan diselenggara dengan baik, contohnya di Taman Guru dan Seri Mahkota.
“Agensi seperti Majlis Bandaraya (Kuantan), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) selain JKR (Jabatan Kerja Raya) perlu buat pemantauan untuk mengurangkan risiko kawasan jalan ditenggelami air yang boleh mendatangkan masalah kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepadamedia selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Seri Mahkota di sini untuk meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di situ.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mangsa banjir di semua PPS di Pahang supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Kita tak mahu berlaku penularan Covid-19 di PPS pula nanti. Saya juga nak nasihatkan orang ramai supaya memerhatikan pergerakan anak-anak demi keselamatan… jangan beri mereka bermain di tempat berisiko tinggi yang boleh menyebabkan kecelakaan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN