Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Meskipun Pahang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan negeri tetap melaksanakan langkah pencegahan bagi membendung penularan COVID-19.
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu antaranya membabitkan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi tertentu oleh pihak berkuasa diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai 11 November ini.
“Ini bagi menyekat berlakunya rentas sempadan negeri terutama dari kawasan zon merah ke negeri ini.
“Sungguhpun kita bersyukur kerana Pahang satu daripada tiga negeri yang tidak tertakluk kepada PKPB, langkah ‘pre-emptive’ bertujuan membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri ini akan terus
dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berkuasa bagaimanapun tetap memberi kelonggaran bagi kes-kes tertentu antaranya kecemasan dan kematian.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri membuat keputusan membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini terus beroperasi, namun pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah.
”Bagi guru dari luar Pahang khususnya zon merah, mereka tidak dibenarkan kembali ke maahad atau sekolah untuk mengajar.
“Keputusan ini bergantung kepada keadaan dan seandainya terdapat sahaja kes jangkitan baharu di maahad atau sekolah ini, maka arahan berhenti operasi akan dilakukan,” katanya.