KUANTAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, di sini, tercalon sebagai tiga finalis untuk Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi merebut hadiah berjumlah RM229,000 (AS$50,000) tunai.
Sekolah itu tersenarai bagi kategori inovasi dalam anugerah anjuran T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Accenture dan American Express, selepas mencipta sistem penyelesaian digital sepenuhnya bagi mengesan kemajuan murid.
SK Kempadang mencipta penyelesaian digital SMARTZOOM, yang mengesan kemajuan pembelajaran murid menggunakan aplikasi Google Sheets.
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Dato’ Shahira Ahmed Bazari, berkata kecemerlangan Sekolah Amanah Malaysia itu akan menjadi inspirasi kepada pendidik di seluruh dunia.
“Ia adalah bukti berterusan bahawa, sekolah awam kita juga mampu menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, pertandingan itu kini memasuki peringkat undian awam dan orang ramai boleh membuat undian di pautan worldsbestschool.org sehingga 2 Oktober manakala pemenang akan diumumkan pada 19 Oktober depan. – NUR HANNAH KHADIJAH