KUANTAN: Tiga puluh peratus hasil zakat yang dikutip daripada guru dan kakitangan sekolah rendah dan menengah di Pahang akan dikembalikan menerusi Skim Wakalah Zakat yang diperkenalkan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang.
Pengurus Besar Kanan Zakat dan Wakaf Pahang, Dato’ Halidan Md Daud, berkata pemulangan balik kepada sekolah itu diharap membantu golongan memerlukan terutama bantuan kewangan kepada murid dan pelajar yang layak.
Oleh itu, katanya, guru dan kakitangan sekolah rendah dan menengah yang layak menunaikan zakat diharap berbuat demikian.
“Sehingga ini, hanya satu sekolah di Pahang layak menerima 30 peratus bayaran balik zakat kerana sudah mencapai potongan zakat 90 peratus daripada jumlah guru dan kakitangan. Sekolah lain baru mencapai 70 hingga 80 peratus.
“Oleh itu, kita harap semua sekolah di Pahang berusaha untuk melepasi 90 peratus bagi membolehkan mereka menerima pulangan balik daripada pembayaran zakat itu,” katanya.
Halidan berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Wakalah Zakat bersama Majlis Guru Besar dan Majlis Pengetua Sekolah Menengah daerah Kuantan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini, hari ini.
Menurutnya, dengan adanya bayaran zakat 30 peratus itu, pengurusan sekolah tidak perlu lagi mengharapkan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjalankan aktiviti kebajikan sekolah.
“Sebaliknya, wang zakat itu boleh membantu pelajar daripada golongan asnaf membeli peralatan dan yuran sekolah atau aktiviti kerohanian,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN